Monday, August 9, 2010

TUGASAN 2 : ULASAN LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

Esei ulasan
View more documents from UPSI.


ULASAN KAJIAN TINDAKAN

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MURID MENCONGAK FAKTA ASAS DARAB MELALUI PENDEKATAN PERMAINAN DOMINO

Laporan kajian tindakan yang disediakan oleh Aida Ibrahim ini memfokuskan kepada peningkatan kemahiran murid dalam mencongak fakta asas darab melalui pendekatan permainan domino yang melibatkan 6 orang murid Tahun 5 Arif, Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Tengah Kluang Johor.

Menerusi proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidik mendapati bahawa terdapat segelintir anak didikannya mengalami masalah dalam mencongak fakta asas darab berikutan kesukaran mengingat fakta asas darab. Keadaan ini menyebabkan prestasi murid-murid kurang memuaskan dalam matapelajaran matematik kerana gagal menyelesaikan soalan yang berkaitan pendaraban terutamanya mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Bagi melaksanakan kajian, penyelidik telah menjalankan proses tinjauan masalah seperti pemerhatian, temu bual, soal selidik dan ujian pra dengan harapan dapat membantu meningkatkan penguasaan mencongak fakta asas darab ke arah yang lebih berkesan. Di samping dapat memberi keseronokan kepada murid-murid dan seterusnya merealisasikan slogan "Mathematics is fun and easy". Justeru itu, satu perancangan tindakan telah dijalankan bagi tujuan tersebut dengan mengadakan sesi bimbingan yang dijalankan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran selama 4 minggu pada setiap hari Isnin hingga Khamis selama sejam bagi setiap sesi melalui pendekatan permainan domino.


Objektif kajian ini secara amnya adalah untuk membantu meningkatkan kemahiran mencongak fakta asas darab hingga 9 x 9 di kalangan murid-murid Tahun 5 Arif dengan cepat dan tepat. Manakala bagi objektif khusus pula, penyelidik menjangkakan murid dapat memadankan soalan fakta asas darab dengan hasil darabnya secara tepat atau sebaliknya, murid boleh mencongak fakta asas darab secara bertulis dengan cepat dan tepat, menimbulkan minat terhadap matapelajaran matematik terutama kemahiran mencongak fakta asas darab serta mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang ceria dan harmonis.

Berdasarkan kepada analisa yang telah kami lakukan, didapati laporan kajian tindakan ini lebih menjurus kepada penggunaan Model Somekh (1989) dalam menyelesaikan persoalan yang timbul. Menurut Bridget Somekh (1989), model ini mengandungi 8 langkah utama dalam pelaksanaan kajian tindakan. Langkah-langkah tersebut adalah mengenalpasti masalah / fokus yang diminati diikuti mengumpul data, menganalisis data / membentuk hipotesis, merancang dan melaksanakan pelan tindakan seterusnya mengumpul data untuk mengesahkan perubahan dan akhir sekali menganalisis dan menilai. Proses-proses ini akan berulang mengikut putaran urutan seterusnya.

Penyelidik telah menggunakan kaedah pemerhatian dalam proses mengenalpasti masalah. Hasil pemerhatian ini, penyelidik mendapati kaedah mencongak menjadi punca masalah kepada 6 orang murid tersebut yang memperolehi markah yang rendah dalam matapelajaran matematik, di mana mereka menggunakan teknik hafalan kaedah jari dan membaca secara berturutan. Implikasinya murid-murid tersebut tidak dapat menjawab soalan dengan tepat dan cepat mengikut masa yang ditetapkan.

Seterusnya bagi langkah kedua dan ketiga iaitu pengumpulan data dan menganalisis data / membentuk hipotesis , penyelidik telah menggunakan kaedah temu bual, soal selidik dan juga ujian pra. Tujuan temu bual dan soal selidik dijalankan adalah untuk mengetahui punca sebenar murid tidak dapat menguasai kemahiran mengingat dan menghafal serta maklumat yang berkaitan dengan matapelajaran matematik dan mencongak fakta asas darab 9 x 9. Berdasarkan kepada kedua-dua kaedah ini, dapat disimpulkan bahawa semua murid amat berminat dengan matapelajaran matematik tetapi hanya lima orang sahaja yang berminat terhadap topik 'Pendaraban Nombor Bulat Hingga 1 000 000'. Semua murid juga didapati tidak dapat menguasai kaedah mencongak fakta asas darab dengan baik kerana atas alasan sukar menghafal dan mudah lupa. Ini dapat dibuktikan lagi apabila 4 orang murid mengatakan teknik hafalan yang mereka amalkan membosankan. Bagi Ujian Pra pula, ia adalah untuk menguji tahap sebenar pencapaian murid-murid dalam topik 'Pendaraban Nombor Bulat Hingga 1 000 000' di mana dijalankan sebelum sesi bimbingan bermula dengan mengedarkan soalan berbentuk objektif. Hasil ujian pra menunjukkan bahawa hanya 6 orang murid menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan dan telah dikenalpasti puncanya iaitu kurang menguasai kaedah mencongak fakta asas darab. Masalah ini dianggap serius oleh penyelidik memandangkan ia merupakan asas penting dalam matapelajaran matematik.

Merancang pelan tindakan pula adalah merupakan langkah keempat yang digunakan oleh penyelidik dalam menyelesaikan permasalahan utama. Penyelidik telah merancang pelan tindakan dengan mengadakan 4 jenis aktiviti iaitu:

  1. Aktiviti 1 : Permainan Domino Fakta Asas Darab;
  2. Aktiviti 2 : Ujian Cepat Kira Fakta Asas Darab – 5 Minit;
  3. Aktiviti 3 : Ujian Cepat Kira Fakta Asas Darab – 4 Minit;
  4. Aktiviti 4 : Ujian Cepat Kira Fakta Asas Darab – 3 Minit.

Bagi setiap aktiviti yang dijalankan dalam setiap sesi, penyelidik akan mengedarkan borang soal selidik kepada murid-murid agar murid lebih berani dan bebas dalam menjawab soalan. Kemudian, temubual dan ujian pra dijalankan sebelum aktiviti dimulakan dan sekali lagi temubual dan ujian pos dilaksanakan selepas aktiviti selesai bagi mendapatkan respon terhadap matapelajaran matematik dan aktiviti yang dijalankan.

Di bawah langkah kelima dan keenam pula iaitu pelaksanaan pelan tindakan dan pengumpulan data untuk mengesahkan perubahan, penyelidik telah menyediakan alat bantu mengajar untuk keempat-empat jenis aktiviti tersebut. Di bawah adalah keterangan bagi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dan hasil pemerhatian yang diperolehi:

  1. Aktiviti 1
    1. Pelaksanaan : Melibatkan penggunaan buah dadu, sekeping kad permulaan bertanda dan 100 keping kad berkembar yang setiap hujungnya mengandungi soalan fakta asas darab dan hasil darab fakta asas darab. Murid dibahagikan kepada 2 kumpulan dan dikehendaki memadankan kesemua kad yang ada dalam jangkamasa yang singkat.
    2. Pemerhatian : Penyelidik mendapati aktiviti ini dapat meransang minat murid-murid terhadap penguasaan mencongak fakta asas darab kerana mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk menjadi pemenang ditambah dengan suasana yang begitu ceria, harmonis dan memberi keseronokan kepada mereka.
  1. Aktiviti 2
    1. Pelaksanaan : Penyelidik mengedarkan satu set soalan yang mengandungi 60 soalan yang bertujuan untuk mengukuhkan daya ingatan mereka terhadap fakta asas darab. Murid perlu menjawab kesemuanya dalam tempoh masa 5 minit. Kemudian, jawapan disemak bersama murid-murid.
    2. Pemerhatian : Murid dapat menjawab kesemua soalan dengan lebih tenang dan tepat dalam tempoh masa kurang dari 5 minit serta mempunyai lebihan masa untuk menyemak jawapan.
  1. Aktiviti 3
    1. Pelaksanaan : Penyelidik mengedarkan satu set soalan yang sama seperti dalam aktiviti 2. Namun murid perlu menjawabnya dalam tempoh masa 4 minit.
    2. Pemerhatian : Murid tenang dan berkeyakinan menjawab kesemua soalan dengan tepat dalam tempoh kurang daripada 4 minit.
  2. Aktiviti 4
    1. Pelaksanaan : Penyelidik mengedarkan satu set soalan yang sama seperti dalam aktiviti 3. Namun murid perlu menjawabnya dalam tempoh masa 3 minit.
    2. Pemerhatian : Murid tenang dan berkeyakinan menjawab kesemua soalan dengan tepat dalam tempoh kurang daripada 3 minit. Penyelidik merasa gembira kerana semua murid dapat menguasai kemahiran mencongak fakta asas darab dengan memberi latih tubi secara berterusan terhadap pembelajaran mereka.


Pada akhir pelaksanaan kajian, penulis telah menganalisis dan menilai pelan tindakan yang dilaksanakan. Menerusi hasil Ujian Pra dan Ujian Pos yang dijalankan, kajian tindakan ini telah memberikan impak yang positif dalam membantu meningkatkan prestasi murid terhadap matapelajaran matematik terutamanya topik pendaraban. Pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua murid adalah sangat memberansangkan dengan peningkatan gred C kepada gred A. Murid juga berasa tidak bosan dengan teknik pengajaran ini, sekaligus dapat meransang minat murid untuk terus menguasai kemahiran mencongak fakta asas darab dalam matapelajaran matematik. Suasana yang terkawal, ceria dan harmonis turut memberikan kesan yang mendalam terhadap konsentrasi dan minat murid. Di samping itu, aktiviti permainan domino ini dapat membina keyakinan diri yang tinggi dalam diri murid. Penyelidik juga berhasrat untuk mengaplikasikan kajian tindakan ini kepada kumpulan sasaran yang lain agar dapat membantu meningkatkan kemahiran mencongak fakta asas darab. Selain itu, penyelidik juga akan mengaplikasikan kajian tindakan ini dalam fakta asas tambah, tolak dan bahagi bagi meningkatkan prestasi dan minat murid terhadap matapelajaran matematik.

Kesimpulan terhadap laporan kajian tindakan ini, kami dapati bahawa ianya amat berguna dan berkesan kepada murid yang mengalami masalah dalam penguasaan dalam matapelajaran matematik. Selain itu, kajian tindakan ini dapat membantu para guru meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran khususnya matapelajaran matematik.

No comments:

Post a Comment